Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) telah mula berkuatkuasa semenjak tahun 2007 dan tergolong di bawah undang-undang jenayah. Di bawah peruntukan Akta Antipemerdagangan Orang 2007, pegawai penguatkuasa terdiri dari pegawai polis, pegawai imigresen, pegawai kastam dan pegawai APMM. Akta ini juga merupakan undang-undang jenayah berat yang memperuntukan hukuman sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan, justeru permohonan perintah menahan di bawah seksyen 117 bagi saspek boleh dibenarkan selama 7 hari pada permohonan pertama dan 7 hari pada permohonan kedua.
Pegawai imigresen terutamanya perlu sedar bahawa peranan Jabatan Imigresen Malaysia di alaf baru ini telah bertambah dan seharusnya semua warga imigresen bersedia dengan tuntutan-tuntutan tugas yang semakin mencabar. Dengan berkuatkuasanya Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP), kuasa-kuasa pegawai imigresen tidak hanya terhad kepada kesalahan warga asing sahaja akan tetapi melibatkan semua orang tidak mengira warganegara. Sebagai contoh dalam satu siri kesalahan, tidak terdapat warga asing yang terlibat, mangsa pemerdagangan orang (victim) adalah perempuan warganegara Malaysia yang dipaksa sebagai pelacur dan saspek pesalah adalah juga warganegara Malaysia, maka bagi kesalahan di bawah ATIP pegawai imigresen mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan dan siasatan di bawah peruntukan kuasa ATIP. Sehubungan itu, pegawai-pegawai imigresen alaf baru ini seharusnya dan sepatutnya mempersediakan diri sebagai penguat kuasa undang-undang jenayah yang lebih berat dengan melengkapkan diri bersesuaian bidang tugas semasa.
Warga imigresen perlu sedar, peranan JIM telah berubah dengan perubahan sosioekonomi Malaysia. Apabila negara berubah kepada negara maju, peranan JIM juga berubah kerana pergerakan keluar/ masuk (penghijrahan) orang asing akan meningkat disebabkan faktor-faktor ekonomi, sosial dan politik. Menjelang tahun 2020 Malaysia akan melonjak ke era negara maju, justeru peranan JIM akan lebih mencabar sebagaimana yang kita dapat saksikan di negara-negara Eropah dewasa ini kawalan imigresen menjadi amat ketat. Mungkin akan wujud Akta-akta baru yang akan melibatkan penguatkuasaan oleh imigresen seperti Akta Antipenyeludupan Manusia dan Akta Antikeganasan pada masa akan datang yang menuntut pegawai-pegawai imigresen untuk lebih profesional. Walaupun wujud Akta-akta baru, namun pegawai imigresen perlu mempertahankan kewujudan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tanpa Akta Imigresen, pegawai imigresen tidak wujud, pun begitu pegawai imigresen perlu peka bahawa undang-undang rujukan kita tidak hanya terhad kepada Akta Imigresen semata-mata tanpa memperdulikan undang-undang lain.
"PERKHIDMATAN BERKUALITI DAN BERINTEGRITI"